Pengenalan

Sebagai agensi pembangunan hartanah di bawah Kerajaan Negeri Selangor, PKNS terlibat secara langsung dalam pengagihan ekonomi dan pertumbuhan sosio-ekonomi melalui dasar Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Oleh yang demikian, budaya integriti bermula daripada peringkat Pengurusan PKNS mampu mempertingkatkan Tadbir Urus Korporat Terbaik (Good Corporate Governance) serta membentuk budaya kerja sihat dikalangan warga kerja sekaligus menyumbang kecemerlangan prestasi PKNS.

Berdasarkan Seksyen 8A Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor 1964 (No. 4 Tahun 1964) serta Pekeliling Perbendaharaan Bil. 09 Tahun 1993, PKNS telah menubuhkan Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus dan Integriti (JKTI) Perbadanan bagi memantapkan sistem tadbir urus korporat PKNS.

Lanjutan daripada itu, satu jawatankuasa kerja yang terdiri daripada PKNS dan Transparency International Malaysia (TI-M) mula merangka dan menyediakan Sistem Integriti Korporat (SIK) / Cprporate Integrity System (CIS) pada Februari 2012 untuk digunakan sebagai garis panduan bagi melaksanakan inisiatif disamping mendukung visi untuk memperkukuhkan tadbir urus korporat serta menerapkan budaya kerja berintegriti tinggi dalam kalangan anggota PKNS.

PKNS telah menubuhkan Bahagian Integriti (dahulunya dikenali sebagai Bahagian Pengurusan Organisasi & Integriti) pada Jun 2012 bagi menyelaras pelaksanaan Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus dan Integriti (JKTI) Perbadanan serta Sistem Integriti Korporat (SIK) di PKNS.

Bahagian Integriti terus komited untuk memperkemaskan SIK serta melaksanakan pelbagai inisiatif dan aktiviti integriti termasuk melibatkan anggota PKNS dan pihak-pihak yang berkepentingan. Adalah menjadi hasrat Bahagian Integriti PKNS untuk dijadikan penanda aras dan rujukan oleh jabatan kerajaan dan agensi swasta yang lain sebagai salah satu organisasi terbaik dalam pelaksanaan tadbir urus dan integriti.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) - Bahagian Integriti